ombak kasih bagai badai menggila membawa tsunami dalam hati ini..
biar acheh musnah..jgn lah tsunami ini reda..aku mahu hanyut dalam cintanya~
ada aku takut dengan kau???? aku kesah ke???!!!






Wednesday, September 1, 2010

aku~ part 2

PART 2


Entah kenapa, aku pun tak ingat kenapa dan atas sebab apa emak tak masukkan aku ke sekolah tadika KEMAS. Sebenarnya kalau ikutkan hati aku nak sangat masuk sekolah tadika. Mungkin sebab baju dia cantik. Warna merah kotor dengan corak kotak-kotak kecil. Tapi apa nak buat bila emak buat keputusan aku takkan bersekolah tadika.


Rasa memang nak memberontak. Kalau tak silap emak bagi alasan tak ada duit nak sekolah kan aku. Emak nak aku bersekolah tadika agama di sebelah petang. Jadi aku takkan dapat keduanya. Aku perlu ikut kehendak emak. Soal masalah kewangan memang aku tak tahu apa-apa. Yang aku tahu apa pun mesti minta dari emak. Bapak?Di mana bapak masa tu ye? Sungguh, aku tak ingat. Rasanya aku tak letak dia dalam hati jadi kenangan dengan dia juga tak terlekat dalam ingatan.


Sejak Apis berumur 4 tahun aku telah menjadi penjaganya. Baik di rumah atau di kebun getah. Jarak beza umur aku dan Apis dalam 4 tahun. Jadi sejak kecil lagi aku dah tahu erti tanggungjawab. Dan tanggungjawab yang aku pikul bukan ada orang yang mengajar bagaimana atau menjelaskan padaku kenapa. Aku cuma tahu, dan aku perlu lakukan. Dengan caraku sendiri. Dengan penyelesaian aku sendiri. Dengan diri aku sendiri.


Jadi waktu pagi aku habiskan di kebun getah. Emak akan hantar Apis ke rumah Mak Long (Allahyarhamah) yang berjiran dengan aku. Atau kalau Mak Long tak dapat tengok-tengokkan Apis yang masa tu baru berumur 4 tahun, Apis juga akan diheret ke kebun getah yang jauh dari jalan besar. Tugas aku menjaga Apis sementara emak hilang di celah-celah pokok getah sebesar sepemeluk orang dewasa.




Apis sedang menangis. Berpuluh-puluh ekor nyamuk menghurung kepala, muka, lengan dan kaki adikku itu. Kasihan aku melihatnya. Ubat nyamuk yang dibekalkan emak tidak dapat menghalau nyamuk dari terus bermaharajalela. Aku memujuk Apis dengan memberikan dia seketul cucur bilis baki sarapan di rumah tadi. Diam sebentar tangisan anak manja itu.


“emak,” Apis menangis semakin kuat.


Emak sudah meninggalkan kami hampir 30 minit. 10 minit terawal tadi kelibat emak masih kelihatan dari satu pokok ke pokok berikutnya. Tetapi kini entah di lereng mana emak menoreh.


“nak emak,” tangisan Apis meleret. Adaair jernih di hujung mata anak kecil itu.


Aku menepuk-nepuk kaki Apis, cuba membuat dia rasa aku sedang memujuknya. Sememangnya aku tak tahu bagaimana cara memujuk anak kecil, atau memujuk sesiapa. Aku tak pandai menzahirkan apa yang kurasa melalui perkataan. Tapi tangisan Apis belum ada tanda-tanda mahu reda.


“emak!” aku melaung kuat. Tiada balasan.


“emak!! Emak kat mana?” kali ni aku menjerit sekuat hati. Tak lama selepas itu sayup-sayup kedengaran suara emak di atas bukit.


“tu..dengar tak tadi mak jerit. Jangan nangis lagi ye,” aku usap rambut Apis.


Kali ini Apis diam. Tangisannya reda.


Aku melihat keliling. Ada anak-anak pokok kayu tidak jauh dari tempat kami dua beradik duduk berteduh, dipayungi pokok-pokok koko dan berlantai alas yang sudah koyak di sana sini. Entah dari mana akal kreatifku muncul, seakan dedaun pokok-pokok kayu itu memanggilku. Apis aku tinggalkan sekejap.


Aku memetik beberapa helai daun pokok yang besar. Aku bawa ke tempat berteduh tadi. Kubelek-belek daun tersebut. Apa lah sangat yang boleh difikirkan oleh kanak-kanak berumur 8 tahun sepertiku. Puas kubelek kulipat-lipat pula.


Ku tala pandangan ke sekitar, ada ranting pohon herba yang sudah mati tetapi masih utuh. Aku ambil lalu kupatah-patahkan pendek-pendek. Aku kumpul semuanya. Aku petik pula daun koko yang bersaiz kecil lalu kuhimpun bersama kumpulan tadi.


Agak lama aku memandang semua yang kukumpulkan. Apis merengek semula. Aku tuang air teh O yang ada di dalam termos ke dalam gelas plastik lalu kuunjuk kepada budak lelaki yang comel itu. Aku tepuk-tepuk kakinya. Biar dia rasa lega. Nampak matanya sudah kuyu, mungkin mengantuk agaknya.


Aku kembali melihat bahan-bahan di atas alas plastik kotor itu. Aku ambil 2 helai daun pokok kayu yang lebar lalu aku letak di atas satu sama lain. Aku ambil pula ranting halus yang sudah kupatah-patahkan tadi, aku jadikan benang utuk melekatkan 2 helai daun kayu tadi. Seterusnya aku tambah sehelai demi sehelai daun. Hasilnya adalah topi kecil untuk Apis dari dedaun pokok kayu dan pokok koko. Cantik dan paling penting saiznya sesuai untuk aku pakaikan di kepala Apis.


Kemudian aku patahkan ubat nyamuk yang berlingkar itu menjadi sepanjang kira-kira 5cm. Aku selitkan di celah-celah topi daun yang baru siap tadi kemudian ubat nyamuk itu ku bakar. Aku tersenyum puas.


“ nah..pakai topi ni ye. Nanti nyamuk tak hurung muka Apis,” aku memujuk Apis. Anak kecil itu mengangguk-angguk kepala.


Selepas dari hari itu, setiap kali kami dua beradik terpaksa menemani emak menoreh, aku akan buatkan topi daun untuk Apis. Apis dah tak menangis lagi.

No comments:

Post a Comment