ombak kasih bagai badai menggila membawa tsunami dalam hati ini..
biar acheh musnah..jgn lah tsunami ini reda..aku mahu hanyut dalam cintanya~
ada aku takut dengan kau???? aku kesah ke???!!!






Wednesday, September 1, 2010

aku~ part 1

PART 1


Hidup di kampung, dibesarkan di kalangan saudara lelaki seramai 4 orang yang jauh lebih tua. Mereka sudah besar remaja. Sudah berada di sekolah menengah. Aku tak pernah salahkan mereka andai sekiranya mereka juga terkejut dengan kehadiran aku sebagai adik perempuan setelah berbelas tahun bergaduh, bertumbuk dan serang menyerang sesama sendiri.


Bagaimana mahu membezakan aku dengan adik beradik yang lain? Tentu sukar..tentu mereka buntu bagaimana mahu melayan aku yang selayaknya menjadi princess di hati mereka. Bukan hanya abang-abangku yang kekeliruan, tentu sahaja ibu dan ayahku sendiri. Jadi akhirnya aku tidak dibezakan sama sekali. Aku tak dilayan sebagai princess. Lagipun mana ada princess dalam keluarga penoreh getah kan? Aku sahaja yang perasan mahu dilayan sebegitu.


Dari seorang anak kecil yang bertocang kuda, penampilanku berubah mengikut fesyen terkini abang-abangku. Lagipun biasa adik mewarisi harta saudara yang lebih tua kan? Jadi tak ada warisan skirt atau ntah baju perempuan yang diturunkan untuk aku. Jadi aku menjadi seperti mereka. Aku sebahagian dari diri mereka. Tetapi aku tetap terpinggir. Tanpa sesiapa yang boleh membantu, memberi nasihat atau memujuk. Hurmm..mungkin hanya seorang abang sahaja yang mempengaruhi setiap tindak tanduk dan pergerakanku.


Siapa? Orangnya seiras aku. Warna kulitnya memang sewarna denganku. Bila memandang dia aku jadi yakin aku punya darah yang sama dalam tubuh ini. Bukan anak pungutan. Bukan anak hasil ihsan ibu bapaku yang membela kerana simpati. Dialah kekuatan aku. Aku sanggup mati untuk abangku yang satu ini. Cuma dia yang tak tahu betapa aku sanggup lakukan pengorbanan maha hebat deminya. Kerana aku tak pernah menunjukkan rasa kasihku. Cuma semasa zaman kanak-kanak sehingga awal remaja. Selepas itu aku bukan aku.

Aku menarik selimut lusuh di hujung kaki. Ku tarik kain nipis itu hingga menutup dada. Sejuknya serasa hingga ke tulang hitam. Setiap pagi begini, tapi tak pernah tubuhku lali dengan kesejukan pagi di kampung. Dinding kayu dan atap zink karat tak mampu menyimpan haba bila embun mula menitis dari hujung daun.


Aku mengerekot seperti udang digoreng. Selimut nipis dan hapak itu tak mampu memanaskan tubuh. Tapi itu sahaja yang ada. Dengan tilam nipis dan juga kelambu untuk menghalang nyamuk, nampak benar-benar pulas tidurku. Seperti tiada apa yang boleh mengganggu.


“Ija..bangun,” sayup suara mak mengejutkan. Aku mendengus, degil terus berselubung di dalam selimut.


Setiap pagi pun begini. Sejak aku mengenal apa itu hidup. Sejak aku perlu mengenepikan kehendak sendiri. Tapi apalah sangat yang diperlukan oleh kanak-kanak berumur 6 tahun kan? Siapa lah yang mahu mendengar. Kalau ada pun yang boleh mendengar akan berpura-pura tuli kerana itulah kelaziman menjadi orang kampung, kelaziman menjadi anak penoreh getah.


“Ija..bangun..kenapa susah sangat nak bangun?” suara mak semakin nyaring. Mungkin mahu menyaingi bunyi ketukan anak lesung batu. Emak tengah menyediakan sarapan seawal jam 5.30 pagi.


Aku terpisat-pisat di atas tilam nipis dan lusuh. Meregangkan badan dengan mata tertutup. Mulut terbuka luas menahan kantuk yang masih banyak tersisa.


“ya,” sekadar untuk melegakan hati emak.


“bangun mak kata, mandi. Nanti lambat,” emak berkata lagi.


Mendengar kata-kata emak, aku menjadi semakin malas. Sejuknya nak mandi seawal jam 6 pagi. Mandi air kolah yang sejuknya hingga buat badan menggeletar dan gigi terkacip.


“Liza! Emak kata apa? Dengil sangat kenapa?” emak sudah berada di tepi tilam.


Aku yang terkejut mendengar emak memanggil nama itu terus bangun dan kemudian mencapai tuala dan terus menuju ke bilik air. Aku memang takut dengan emak. Aku sangat takut bila dia memanggilku Liza. Nama itu hanya digunakan bila kesabaran emak sudah sampai ke leher.


Sedar-sedar tubuhku basah dan omelan emak seperti tiada kesudahan. Emak berdiri di sisi bersama gayung dan sabun. Sejuknya hanya Allah yang tahu. Terkejut dengan simbahan pertama tadi membuat aku ingin menangis tetapi hati ini menahan. Aku bukan princess. Aku hanya anak penoreh getah yang sebentar lagi akan membonceng motosikal buruk emak mengikut dia menoreh getah. Meranduk semak dan rumput setinggi betis. Tersengguk-sengguk mengantuk walau muka dihurung nyamuk. Bila pulang nanti perlu menarik pacat yang sudah gemuk dan melekat kadang-kadang di celah jari kaki atau di celah lutut.

No comments:

Post a Comment